APAKAH KEMPEN #HANYALELAKI ?

Terdapat banyak kempen kesedaran yang ditujukan khas kepada golongan wanita. Kempen ini ditujukan khas kepada golongan lelaki Malaysia memandangkan #HanyaLelaki berisiko untuk menghidap kanser prostat.

Kanser prostat adalah pembunuh ‘senyap’ yang #HanyaLelaki berisiko menghidapinya.

Di Malaysia, lebih 60% kes kanser prostat hanya dirawat pada peringkat yang lewat (Tahap 3 dan 4). Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang penjagaan kesihatan prostat, risikonya dan tanda-tanda awal kanser prostat, serta menggalakkan saringan dan rawatan awal kanser ini.

Terdapat beberapa perkara yang #HanyaLelaki mampu lakukan, seperti menawan kanser prostat – hanya jika ia dikesan dan dirawat awal.


Misi & Visi

Sasaran kami adalah untuk mengurangkan kadar kes kanser prostat yang dirawat pada peringkat lewat iaitu daripada lebih 60% pada tahun 2020 kepada 30% menjelang tahun 2025.

Untuk mencapai matlamat ini, kami komited untuk meningkatkan kesedaran pada peringkat nasional mengenai kanser prostat, membantu memperkasakan petugas profesional kesihatan di Malaysia serta menggalakkan saringan dan rawatan awal.



TABUNG DANA KANSER UROLOGIKAL ADALAH ENTITI BUKAN BERASASKAN KEUNTUNGAN DI BAWAH NAUNGAN FAKULTI PERUBATAN, UNIVERSITI MALAYA.


Ditubuhkan pada tahun 2015, dana ini komited untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kanser urologikal terutamanya kanser prostat, menggalakkan saringan awal kanser prostat dan menyumbang bantuan kewangan kepada pesakit-pesakit yang berpendapatan rendah.

“Dengan kesedaran dan saringan awal, golongan lelaki mempunyai peluang lebih baik untuk menawan kanser prostat.”

Profesor Dato Dr Adeeba Kamarulzaman

Profesor Dato Dr Adeeba Kamarulzaman adalah Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan Pengerusi Tabung Dana Kanser Urologikal. Sebagai Presiden Kelab AIDS Antarabangsa, beliau telah mencurahkan pengalaman kepimpinan akademik dan klinikal untuk memangkin respons nasional dan komuniti terhadap HIV/AIDS di Malaysia. Beliau bermatlamat untuk memberi sumbangan dan bakti yang sama untuk kanser prostat di Malaysia.

"Ramai lelaki menderita akibat kanser prostat. Saya berjaya melawan kanser ini dan ingin membantu lelaki-lelaki lain yang sedang melawan kanser prostat."

Dato’ Sri Nazir Razak

Dato’ Sri Nazir Razak, mantan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan CIMB, merupakan bekas pesakit kanser prostat. Harapan beliau adalah supaya lebih ramai lelaki yang berisiko menghidapi kanser prostat untuk menjalani ujian saringan dan rawatan awal secara proaktif. Beliau telah menyertai Lembaga Pemegang Amanah untuk Tabung Dana Kanser Urologi pada bulan Ogos 2020.