Adakah saya berisiko untuk mendapat kanser prostat?

Semua lelaki berisiko untuk menghidapi kanser prostat. Di Malaysia, dianggarkan bahawa 1 dalam setiap 94 lelaki di Malaysia mempunyai risiko untuk mendapat kanser prostat dalam jangka hayat mereka. Berdasarkan ‘Malaysian National Cancer Registry Report 2012-2016’, kaum Cina mencatatkan kadar insiden yang tertinggi, diikuti oleh kaum India dan Melayu.

 

Faktor risiko adalah faktor yang boleh meningkatkan risiko pembentukan penyakit seperti kanser prostat. Faktor- faktor risiko yang berkaitan dengan kanser prostat adalah seperti berikut:

Usia

Usia merupakan faktor risiko yang utama. Risiko kanser prostat meningkat dengan usia, terutamanya selepas umur 50 tahun. Kebanyakan kanser prostat dikenalpasti pada lelaki berusia antara 65 dan 74 tahun. Kanser prostat jarang berlaku dalam golongan lelaki yang muda berusia kurang daripada 40 tahun.

Sejarah keluarga

Sebahagian kecil kanser prostat (5-10%) adalah disebabkan oleh keturunan. Kanser prostat yang berlaku secara keturunan biasanya berkaitan dengan mutasi gen yang diwarisi dan lazimnya berlaku pada usia yang lebih muda. Risiko seseorang lelaki meningkat sekiranya dia mempunyai:

  • Bapa atau adik-beradik lelaki yang menhidapi kanser prostat sebelum umur 65 tahun, atau sesiapa dari keluarga sebelah bapa atau ibu yang menghidapi kanser prostat.
  • Ahli keluarga yang menghidapi kanser payu dara, kanser usus, kanser ovari, kanser pancreas atau kanser kulit (melanoma).
  • Ahli keluarga perempuan yang menghidapi kanser payu dara berkaitan dengan mutasi gen BRCA (sejenis gen kanser payu dara) sebelum umur 50 tahun.

Pemakanan

Sehingga kini, tiada bukti saintifik yang kukuh untuk mengesahkan bahawa pemakanan and nutrisi memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan atau pencegahan kanser prostat. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa pemakanan yang mengandungi lemak haiwan yang tinggi dan sayur-sayuran yang rendah boleh meningkatkan risiko seseorang menghidapi kanser prostat.